LIGA SUPER MSIA
Pahang kembali bernyawa, rebut tangga kedua liga
Pemangku jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi, mengakui pasukan itu kembali bernyawa untuk merebut tempat kedua dalam carta Liga Super musim ini selepas menewaskan skuad Lang Merah, 2-1, malam tadi.
"Kami mengingatkan pemain untuk cuba menekan pasukan Kedah agar dapat merebut kedudukan yang lebih baik," jelas Shahruddin.
Sementara itu, pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusoff, enggan anak buahnya mengalah dalam perebutan itu.
"Kami masih ada tiga lagi perlawanan, dua daripadanya di tempat sendiri. Jadi, kami akan memastikan dapat kekal di tempat kedua dengan mengutip maksimum sembilan mata," kata Nidzam.
Pahang kini hanya dipisahkan satu mata di belakang Kedah tatkala saingan liga berbaki tiga perlawanan.
Dalam aksi di Stadium Darul Makmur malam tadi, Matheus Alves muncul wira Tok Gajah apabila menyumbat gol kemenangan 10 minit sebelum wisel penamat.