Padang SNBJ sedia digunakan untuk final Piala Malaysia

Muzaffar Musa
November 25, 2023 17:02 MYT
Kurang dua minggu sebelum aksi final Piala Malaysia melibatkan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 8 Disember ini.
Selepas dikritik hebat berikutan keadaan padang yang kelihatan belum bersedia sepenuhnya sewaktu aksi Pestabola Merdeka menentang India pada 13 Oktober lalu, keadaan padang di SNBJ sekali lagi mencetuskan polemik dalam kalangan peminat tempatan.
Menerusi satu gambar yang tular di laman sosial, keadaan padang di bukit jalil kelihatan kembali bertukar warna di sebahagian besar, terutama di bahagian tengah, sebaik selesainya satu konsert berskala mega di venue itu.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam satu temu bual bersama media tempatan hari ini, berkata tiada apa perlu dirisaukan mengenai perkara itu memandangkan terdapat tapak semaian berdekatan stadium berkenaan dan proses penggantian rumput Zeon Zoysia itu tidak memerlukan sebarang kos.
"Jadi jangan risau, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan pastikan padang sudah tersedia untuk perlawanan nanti," katanya dalam temu bual itu.
Semalam, Pengerusi PSM, Datuk Hans Isaac, melakukan beberapa hantaran Instagram Story yang menunjukkan proses membaik pulih padang berkenaan sudahpun bermula bagi memastikan padang SNBJ bersedia untuk digunakan dalam final Piala Malaysia nanti.
Jadi, adakah padang SNBJ akan berada dalam keadaan terbaik dalam aksi final itu nanti? Sama-sama kita nantikan pada 8 Disember ini.
#bola sepak #Perbadanan Stadium Malaysia #SNBJ #Hannah Yeoh
;