Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Abu Bakar, berkongsikan mengenai perjalanan Arif Aiman sebelum bergelar pemain Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dia menjadi antara individu yang bertanggungjawab dalam membawa Arif Aiman ke JDT selepas meminta Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards, untuk memberikan tempat buat pemain berusia 22 tahun itu.

Dalam satu podcast yang tular, Safirul menjelaskan keadaan fizikal Arif Aiman ketika itu menjadi penghalang buat pemain itu memulakan karier profesionalnya dalam kancah bola sepak sebelim kini bergelar hatrik Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia.

"Saya menghubungi Alistair meminta tempat untuk Arif Aiman di JDT tetapi kerana fizikal dia masih kecil ketika itu, jadi JDT berfikir banyak kali untuk ambil dia.

"Tetapi pada penghujung ketika usianya 16 tahun, semasa dia di tingkatan empat, dia masuk JDT, setiap pemain mempunyai proses yang tersendiri. Pada usia 18 tahun baru ada fizikal yang baik.

"Tetapi disebabkan IQ bola sepak dia yang telah digilap dan dia sangat selesa dengan bola dan JDT mahu cuba dia bermain di bahagian sayap serta dikelilingi pemain import berkualiti kerana itu dia muncul Pemain Paling Bernilai (MVP) pada usia dia 19 tahun." katanya.