Skip to main content

Bola Sepak

Ole Gunnar Solskjaer desak Anthony Martial terus bekerja keras

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

anthony-martial.jpg
Ole Gunnar Solskjaer percaya Anthony Martial masih belum mencapai kemuncak prestasi selepas penyerang Manchester United itu bangkit daripada kemerosotannya dengan menampilkan persembahan yang mengagumkan.

Pengurus The Red Devils itu menggesa Martial untuk berusaha lebih keras dalam perlawanan dan percaya bahawa langkah berkenaan membawa kesan positif.

Martial mencatat gol dan bantuan jaringan dalam penampilan yang mengagumkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan lewat 2-0 ke atas Everton di peringkat suku akhir Piala Liga Inggeris (EFL), semalam. 

Dia mengulangi rentak sama ketika membenam Sheffield United 3-2 selain mencipta dua peluang jaringan ketika membelasah Leeds United 6-2 dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Solskjaer percaya kritikan dan kad merah yang dikutip Martial ketika mereka tumbang 1-6 kepada Tottenham di laman sendiri Oktober lalu menjejaskan perkembangannya pada awal musim 2020-21.

 

Walaupun mempamerkan peningkatan baru-baru ini, secara purata Martial hanya merakamkan 0.14 gol dalam setiap 90 minit perlawanan liga musim ini -- tujuh pemain United tampil lebih baik dalam kategori itu.

Begitupun, menjelang perlawanan penting ke Leicester City malam esok, Solskjaer semakin teruja dengan kemajuan pemain berusia 25 tahun itu.

"Martial telah  menawarkan sumbangan penting akhir-akhir ini, dia mencipta bantuan jaringan selain menyumbat gol," kata bekas penyerang itu kepada wartawan.

"Dia semakin cergas dan membuktikannya terhadap Leeds. Dia sedar bahawa saya akan terus memperhatikannya, statistiknya dalam permainan itu telah menetapkan standard baru untuknya, saya ingin melihat lebih banyak lagi.

"Dia memiliki kualiti. Mungkin keyakinannya sedikit merosot atas apa yang terjadi pada awal musim ini termasuk kad merah (ketika menentang Tottenham) dan dia juga berdepan kritikan.

"Sekiranya Anthony menjadi lebih baik sambil Mason Greenwood dan Marcus Rashford turut menemui rentak maka kami akan menjadi lebih mengancam.

"Anak-anak buah tahu apa yang saya mahukan daripada pasukan."


 

Advertisement

Must Watch Video