PIALA FA
Nurridzuan tidak cergas ketika benam JDT -- Dollah
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, memuji kelibat Nurridzuan Abu Hassan yang bertindak cemerlang dengan menjadi pencetus jaringan kemenangan ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam suku akhir kedua Piala FA di Larkin, kelmarin.
Nurridzuan membuat penampilan sulung musim ini apabila dimasukkan pada separuh masa kedua perlawanan itu.
Meskipun tidak beraksi lama, bekas pemain Perak itu tetap berjaya memberi sumbangan besar terhadap kemaraan skuad Tok Gajah ke separuh akhir.
Iklan
Ia menyaksikan hantarannya pada minit ke-86 berjaya disudahkan Mohamadou Sumareh untuk memastikan kemenangan agregat 4-3 buat Pahang.
"Walaupun sebenarnya dia tidak cergas 100 peratus untuk bermain tetapi saya percaya kepadanya.
"Sebab itu, saya beritahunya supaya menggunakan apa sahaja pada malam ini (kelmarin) dan memberikan yang terbaik, jangan risau menang atau kalah," kata Dollah.
Sementara itu, Dollah enggan mengulas mengenai aksi berdepan Negeri Sembilan pada separuh akhir nanti, sebaliknya hanya fokus mengenai pertemuan Liga Super menentang Felda United, esok.
Selain Pahang dan Negeri Sembilan, Terengganu dan Kedah turut melayakkan diri ke peringkat empat pasukan terbaik selepas menewaskan lawan masing-masing.
Must-Watch Video