BOLA SEPAK MSIA

Noor Zaidi luah hasrat kekal dalam perancangan skuad muda

Shaiful Shamsudin 14/02/2024 | 13:51 MYT
Jurulatih Skuad Projek FAM-MSN, Noor Zaidi Rohmat, sedia membantu skuad B-20 negara sebagai tenaga sokongan untuk persiapan menghadapi Kejohanan AFF selain kelayakan Kejohanan AFC, Jun dan September depan.
Bekas pemain Selangor dan MPPJ itu percaya pemantauan rapi terhadap pemain pelapis mampu memudahkan tugas ketua jurulatih, Juan Torres Garrido, membentuk skuad ampuh menjelang dua kejohanan penting itu.
Ia juga menjadi peluang terbaik kepada jurulatih tempatan untuk mendapatkan ilmu baru daripada jurulatih asing.
"Mungkin FAM sudah ada pasukan pemantau untuk mengesan bakat pemain B-19 lebih awal dan selepas Piala Asia B-23 ini, kelompok pemain sudah bersedia (mengisi tempat)," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan Skuad Projek FAM-MSN akan dibubarkan dengan kedudukan Noor Zaidi pula ditentukan kemudian sama ada masih ada dalam perancangan badan induk itu atau sebaliknya.
Noor Zaidi yang mempunyai lesen kejurulatihan pro-diploma mengakui masih menunggu panggilan FAM tatkala dia juga sudah menerima tawaran beberapa pasukan Liga Malaysia.
"Kita boleh lihat kesinambungan corak permainan moden dalam skuad B-20 pula," katanya lagi.
#B-23 #Skuad #Piala AFF #Skuad Projek FAM-MSN
;