PIALA MALAYSIA
Nombor keramat 8 hantui Perak FC dalam 5 hari!
Berbekalkan keyakinan yang dinyatakan jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah bahawa anak didiknya mampu bangkit memberikan saingan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), namun ternyata keyakinan itu memakan diri apabila realiti sebenar skuad The Bos Gaurus terduduk dibelasah JDT sekaligus merekodkan kekalahan terbesar 1-8.
Keyakinan Yusri itu terbit khasnya selepas Perak FC merekodkan kemenangan terbesar dalam saingan musim ini, membelasah Kelantan FC, 8-0 28 Oktober lalu.
Perak FC terpaksa menelan kepahitan hasrat untuk sekurang-kurangnya merapatkan defisit gol menentang juara bertahan, JDT musnah di aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 sebaik gawang mereka dirobek bertalu-talu di Stadium Sultan Ibrahim sekaligus meranapkan impian peminat skuad Seladang ini. Jelas jurang kekuatan dan kualiti dimiliki pasukan Harimau Selatan itu jauh berbeza.
Ia boleh dilihat dari segi kecelaruan struktur pasukan The Bos Gaurus terutama di bahagian tengah yang tidak ada bentuk segi empat atau segi tiga dalam membuat rantaian di tengah itu terputus sehingga meninggalkan ruang besar sekaligus memudahkan skuad kendalian Esteban Solari mendominasi permainan secara total terutamanya di bahagian tengah.
Anak buah Yusri juga umpama terperangkap dengan corak permainan pantas juara tiga kali Piala Malaysia , skuad Harimau Selatan ini yang bijak mengambil kesempatan atas kelemahan lawan itu.
Lihat sahaja bagaimana laluan hantaran yang banyak bermula dari tengah sebelum dilebarkan ke bahagian sayap sehingga JDT berjaya menjaringkan gol.
Satu lagi faktor yang membuatkan pemain Perak tertekan apabila anak didik Solari ini sentiasa bergerak kehadapan untuk membuka ruang kepada rakan melakukan hantaran.
Itu yang membuatkan pemain PFC ini terpaksa bertahan, sibuk mengawal kubu mereka sehingga gagal memberikan tekanan awal kepada JDT.
Elemen Kualiti juga menjadi satu lagi punca Perak mudah diratah JDT yang punya barisan pemain dengan teknik yang baik serta 'game IQ' tinggi.
Itulah hakikat dan realiti yang perlu diakui Yusri apabila kekalahan besar itu perlu dihadam anak didiknya.
Namun ia pasti memberi pengalaman berguna kepada barisan pemain dan pengurusan Perak FC untuk cari ramuan terbaik membentuk pasukan lebih berkualiti.