Nik Akif Syahiran tekad pulih sentuhan di Penang

Shaiful Shamsudin
Januari 29, 2023 22:04 MYT
Tonggak tengah baru skuad Harimau Kumbang, Nik Akif Syahiran Nik Mat, percaya pasukan barunya itu sebagai destinasi tepat untuknya menggilap sentuhan sebenarnya semula.
Pemain berusia 23 tahun itu bertekad berebut tempat dalam kesebelasan utama musim ini meskipun perlu bersaing dengan tonggak import antaranya Ousmane Faney.
Ia merupakan kelab ketiga bekas pemain Terengganu itu yang turut mengakui bukan mudah untuk membina semula keyakinan selepas berdepan prestasi suram terutama musim lalu.
"Saya ingin cari minit permainan, saya rasa boleh merebut tempat di sini sebab kalau di pasukan lain, mungkin susah sikit.
"Saya akan berjuang dapatkan tempat walaupun dengan kehadiran dua pemain import.
"Saya tahu bukan senang nak dapatkan semula keyakinan.
"Saya harap dengan minit permainan, tahap keyakinan akan kembali," katanya dalam persiapan di Stadium UiTM, Shah Alam, kelmarin.
Nik Akif yang merupakan antara muka baru tempatan Penang musim ini selain Hadin Azman, Faris Shah Rosli serta Asnan Ahmad akan mengharungi Piala Harapan 2023 yang turut melibatkan Geylang International, Selangor dan Kedah Darul Aman di Stadium Negeri Pulau Pinang, bermula Rabu ini.
#liga super #Penang
;