PIALA FA
Ngap Sayot lebih tertekan di laman sendiri -- Nakajima
Pemain import Terengganu, Issey Nakajima Farran, menganggap tekanan lebih dirasai Sarawak berbanding pasukannya, menjelang pertemuan suku akhir kedua Piala FA di Kuching, malam ini.
Terengganu terpaksa turun dengan misi untuk mengelak seri tanpa jaringan kerana hasil pertemuan di Kuala Terengganu sebelum ini berakhir dengan keputusan 1-1.
Nakajima sekadar menjadi penonton dalam pertemuan pertama kerana menjalani penggantungan.
Iklan
Bagaimanapun, dia bertekad membantu Terengganu melepasi halangan itu dalam memastikan tempat ke separuh akhir mampu dicapai.
Dia turut menyedari kelebihan Sarawak selaku tuan rumah tidak memberi erti besar kerana lawan masih belum meraih sebarang kemenangan di laman sendiri, musim ini.
"Mereka mengharungi detik sukar di tempat sendiri kerana beraksi goyah.
"Saya dapati mereka masih membariskan pemain tempatan yang sama pada musim lalu manakala pemain import pula kesemuanya telah ditukar.
"Saya menaruh kepercayaan tinggi terhadap Terengganu," kata pemain antarabangsa Kanada itu.
Jelas Nakajima lagi, kekalahan memalukan kepada UiTM FC dalam saingan Liga Perdana menjadi pengajaran terbaik agar tidak memandang mudah kemampuan lawan.
Lantaran itu, ia memberi motivasi buat skuad Penyu itu untuk menampilkan aksi lebih bertenaga supaya keputusan sedemikian tidak akan berulang.
"Saya tidak fikir moral kami jatuh teruk.
"Sebaliknya, ia menjadikan kami lebih dahagakan kejayaan dan lebih fokus terhadap perkara-perkara terperinci.
"Bola sepak adalah mengenai butiran terperinci seperti itu dan kami perlu mengharungi situasi buruk itu dengan baik.
"Setiap pasukan akan mengharungi tempoh bencana seperti itu yang akan datang dan pergi.
"Oleh itu, kami begitu inginkan kemenangan dan amat fokus untuk menghadapi perlawanan ini."
Must-Watch Video