PIALA FA
Ngap Sayot enggan terus kecewa di Stadium Negeri
Di atas kertas bagi mana-mana pasukan, bermain di kubu sendiri adalah kelebihan, keterujaan dan kemenangan. Apatah lagi dengan sorakan ribuan penyokong setia.
Tetapi, tidak bagi David Usop. Bermain di Stadium Negeri bagi pengendali Bujang Senang itu ketika ini umpama mimpi ngeri.
Alasannya, Stadium Negeri dirasakan "tidak semesra" musim-musim lalu.
Iklan
Terasa amat sukar untuk skuad Sarawak pimpinannya meraih kemenangan, biarpun pada awal permainan dijanjikan dengan pelbagai harapan.
Kemenangan sulung yang dicatat di stadium keramat itu ialah dalam pertemuan Piala FA yang lalu yang menyaksikan Sarawak meratah pasukan berstatus kelab, MISC-MIFA, 6-3.
Selain seri 3-3 dalam aksi terakhir dengan Perak, tiga perlawanan terdahulu menyaksikan Sarawak kecewa, biarpun hadir dengan aksi yang mendapat pujian.
Justeru, bagi pasukan yang belum pun berusia lima bulan ini, aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu esok menjadi pertembungan penting.
"Hijab gol di Stadium Negeri perlu dibuka." Demkian laung para penyokong dalam laman sosial sejak minggu lalu.
Mereka dahagakan kemenangan, kerana aksi menarik bukan "jawapan" terhadap sokongan padu yang diberikan.
David sendiri mendoakan titik perubahan yang serupa.
Katanya, segala kudrat telah dicurahkan, segala percaturan telah dilakar dan segala strategi telah dirancang.
"Pelaksanaan strategi penting, tetapi apa yang lebih penting ialah menggegarkan gol lawan. Itu fokus kami pada aksi malam esok," katanya.
Menurutnya, Sarawak perlu memanfaatkan kelebihan yang ada kerana kemenangan ini akan menukar rentak saingan selepas ini.
Berdasarkan prestasi menentang Perak, David tidak menolak untuk meletakkan pertahanan import dari Brazil, Demerson Bruno Costa, di bahagian tengah.
"Mungkin kami akan terus mengekalkan Bruno Costa sebagai pemain tengah berbanding posisi asalnya untuk bergandingan dengan Lee Jong-ho.
"Dia pemain yang rajin dan mampu mencipta gerakan serangan," katanya.
Ketika ini, David masih tidak dapat menggunakan khidmat Nur Shamie Iszuan yang masih dibelenggu kecederaan pergelangan kaki kiri.
“Sebaliknya, kami akan terus menurunkan Abdul Rahim Abdul Razak yang beraksi cemerlang termasuk menjaringkan satu gol, minggu lalu," katanya lagi.
Beliau berharap para pemainnya dapat menyerap tekanan dan bermain sehabis baik bagi melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala FA.
"Laluan sudah terbuka. Seboleh-bolehnya, kami tidak mahu dikecewakan di Stadium Negeri lagi," katanya.
Must-Watch Video