NFDP sediakan platform untuk pemain bola sepak wanita B-12

Hasnizam Uzir
September 6, 2023 16:42 MYT
Bagi terus memperkasakan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), satu inisiatif yang baik dilakukan seketeriat NFDP apabila berjaya melaksanakan pertandingan bola sepak perempuan bawah 12 tahun sempena Karnival Sukan Wanita, yang terkandung didalam buku fasa 2 NFDP.
Ini merupakan satu lagi ‘platform’ untuk pemain-pemain muda wanita memperagakan bakat mereka dan seterusnya akan menjadi aset masa depan bola sepak negara.
Bukan itu sahaja, dengan karnival yang dijalankan ini, ia pasti akan dapat memperomosikan bola sepak wanita di peringkat akar umbi serta menggalakkan ibu bapa menyokong anak-anak perempuan mereka meminati sukan bola sepak.
Daripada penganjuran pertandingan bola sepak wanita bawah 12 tahun sempena Karnival Sukan Wanita yang berlangsung dua hari di UPM itu, ia telah berjaya mengumpulkan seramai 210 pemain wanita B-12 dari 14 pasukan Akademi Tunas Negeri di bawah NFDP dan 14 jurulatih wanita yang terbabit dalam kejohanan ini.
Selain itu penulis juga dapat melihat sendiri bakat-bakat wanita di akar umbi begitu baik. Walaupun ada sedikit kekurangan daripada segi teknik, sekiranya mereka terus diberikan latihan dan disediakan ‘platform’ untuk pertandingan di peringkat umur seperti liga, ia pasti mampu meningkatkan keyakinan diri mereka untuk memberi persembahan berkualiti. Ia dibuktikan semasa pasukan teknikal NFDP mengumpulkan 30 pemain terbaik wanita b-12 tahun untuk bermain sesama mereka sebelum penutupan pertandingan.
Lebih menyeronokkan penulis lagi apabila dapat melihat pemain-pemain wanita B-12 tahun bermain mengikut sistem dan falsafah bola sepak NFDP, yang mana mereka bijak dalam menstrukturkan diri mereka mengikut posisi masing-masing dan bermain dengan hantaran pendek serta dapat menggekalkan bentuk segi tiga dan segi empat.
Itu menampakkan bahawa mereka sudah boleh memahami corak dan cara bola sepak Malaysia dimainkan. Ini tanda positif jika usaha yang dilakukan NFDP ini dapat disambut baik oleh pemegang taruh lain, seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bagi mewujudkan satu liga untuk pemain-pemain wanita di peringkat akar umbi ini supaya suatu hari nanti Malaysia mempunyai skuad wanita yang hebat dan mampu memberi saingan kepada jaguh-jaguh bola sepak wanita Asia.
;