BOLA SEPAK
Neymar tidak sertai sesi latihan kerana kecederaan lutut
Neymar tidak dapat menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan lain di Brazil semalam kerana mengalami masalah lutut, demikan disahkan Persatuan Bolasepak Brazil (CBF).
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dilihat terhincut-hincut sewaktu sesi latihan Selasa lalu dan tidak menyertai sesi itu pada hari berikutnya.
CBF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata Neymar masih belum bersedia untuk kembali menjalani latihan.
"Neymar melakukan aktivitinya di gim. Pemain itu akan menjalani rawatan lutut dan tidak akan berlatih hari ini," ciap CBF dalam Twitter.
Brazil akan berdepan Qatar dan Honduras dalam aksi persahabatan sebagai persiapan menjelang kempen Copa America bermula 14 Jun ini.
Skuad kendalian Tite itu akan dicabar Bolivia, Venezuela dan Peru dalam Kumpulan A.