Skip to main content

Bola Sepak

Neymar terlepas aksi lawan Nantes kerana cedera rusuk

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

neymar.jpg
Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, akan terlepas perlawanan Ligue 1 menentang Nantes awal pagi esok kerana kecederaan rusuk.

Pengurus, Thomas Tuchel, berkata majlis hari jadi ke-28 pemain kebangsaan Brazil itu, dua hari sebelum perlawanan berkenaan, tidak akan mempengaruhi pemilihan pemainnya tetapi menganggapnya sebagai satu gangguan.

Tetapi Neymar tidak akan terlibat dengan perlawanan itu memandangkan PSG tidak menyenaraikannya dalam kalangan 19 pemain yang terpilih kerana mengalami kecederaan rusuk, yang disahkan melalui satu ujian kesihatan malam tadi.

Neymar beraksi selama 90 minit ketika pasukannya menewaskan Montpellier, yang beraksi dengan sembilan pemain, 5-0 di laman sendiri awal pagi semalam walaupun kelihatan terhincut-hincut selepas melakukan pendaratan kurang kemas ketika bertembung dengan Arnaud Souquet pada penghujung babak pertama.

PSG mengesahkan kecederaan itu berkaitan dengan insiden berkenaan dan berharap dia dapat kembali menggunakan khidmat penyerang itu dalam perlawanan menentang Lyon hujung minggu ini.

Perlawanan menentang Montpellier itu juga memperlihatkan Neymar bertengkar dengan pengadil, Jerome Brisard, sehingga dilayangkan kad kuning dan terdapat laporan mendakwa pertikaian itu berlarutan sehingga ke terowong pemain.

Rakan seposisi Neymar, Kylian Mbappe, terpilih untuk menyertai kunjungan ke Nantes itu walaupun dirakam tidak berpuas hati dengan Tuchel ketika dikeluarkan dalam babak kedua.

Tuchel tidak kagum dengan kemenangan itu dan mengingatkan Mbappe bahawa hanya dia yang akan menentukan pemilihan pemainnya, namun berkata dalam sidang media selepas perlawanan bahawa dia percaya insiden itu tidak mungkin menjadi pencetus untuk bintang Perancis itu meninggalkan pasukannya.

Selain Neymar, senerai kecederaan kelab itu turut melibatkan Marquinhos, Thiago Silva, Ander Herrera, Juan Bernat, Abdou Diallo, Colin Dagba dan Garissone Innocent.

Neymar menjaringkan 13 gol daripada 14 perlawanan liga musim ini dan membantu PSG berada di kedudukan teratas dengan kelebihan 12 mata di depan pencabar terdekat, Marseille.



Editor: Muzaffar Musa

Advertisement

Must Watch Video