Gary Neville mempersoalkan profesionalisme gandingan Manchester United, Casemiro dan Marcus Rashford berhubung lawatan mereka ke Amerika Syarikat semasa rehat antarabangsa.
Rashford antara penonton di Madison Square Garden. New York untuk menyaksikan perlawanan NBA antara New York Knicks bertemu Brooklyn Nets.
Penyerang itu di tepi gelanggang bersama rakan sebelum mengambil gambar bersama bintang Knicks, Jalen Brunson, manakala pemain tengah, Casemiro terbang ke Orlando untuk bercuti bersama keluarga di Disney World.
Neville telah menimbulkan tanda tanya mengenai pilihan destinasi daripada dua pemain itu, kedua-duanya terlepas daripada dipanggil pasukan kebangsaan mereka, menjelang perlawanan pertama ketua jurulatih baharu Ruben Amorim di Ipswich awal pagi Isnin nanti.
Berdasarkan episod terbaru podcast Stick to Football, pundit Sky Sports itu berkata, "Sebagai pemain, anda perlu memastikan diri dalam tahap terbaik untuk sesi latihan amat penting kepada setiap keputusan yang anda lakukan sepanjang musim.
"Dia [Marcus Rashford] telah mendapat rehat mental, dia keluar bersama rakan -- kemudian bercakap mengenai pilihan venue, sejauh mana anda akan terbang, berapa banyak perbezaan waktu, adakah ia akan memberikan masalah jet lag, adakah ia akan memberikan masalah kekakuan daripada berada dalam penerbangan selama 12 jam?"
Amorim mengambil alih sesi latihan pertamanya di Manchester United minggu ini selepas ketibaannya sebagai ketua jurulatih baharu, dengan kelab itu mengeluarkan video tujuh minit Isnin lalu yang memaparkan dia dan pemain di Carrington.
Pengendali kelahiran Portugis itu memulakan pimpinannya sebagai pengurus dengan lawatan ke Ipswich dalam Liga Perdana Inggeris awal pagi Isnin nanti.
Ammar Hakim
Fri Nov 22 2024