'Tiada keperluan jadi naturalisasi', itu kata-kata penjaring terbanyak Liga Super 2020/2021, Ifedayo Olusegun, tampak enggan berasa kesal andai tidak dapat melengkapkan tempoh lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia.

Ini susulan Ifedayo dalam temubual eksklusif bersama Nadi Arena yang mengesahkan kini memegang status sebagai ejen bebas ketika beliau dikaitkan kembali ke pangkuan Selangor FC.

Penyerang berusia 31 tahun itu, yang telah menjaringkan 87 gol dalam 104 perlawanan Liga M, mendedahkan dirinya kini ejen bebas dan ingin terus beraksi di Malaysia.

Selepas meninggalkan Selangor FC untuk bersama Melaka United musim lalu, pemain kelahiran Nigeria itu kini telah dikaitkan bakal kembali bersama gergasi Merah Kuning bagi musim 2023.

"Bapa saya telah meninggal dunia hujung tahun lalu, saya menghadapi tempoh yang sukar sebelum ini dan tidak dapat menjalankan perbincangan dengan kelab. Benar telah banyak kelab mula memberikan tawaran sebelum ini namun fikiran saya ketika itu tidak memikirkan tentang bola sepak," kata Ifedayo.

"Ejen saya turut menyatakan terdapat tawaran daripada Selangor dan kita akan melihat masa depan saya dalam saingan musim baru.

"Buat masa ini, saya tidak memikirkan tentang naturalisasi dan menjadi pemain kebangsaan skuad Malaysia. Saya hanya memikirkan untuk kembali ke tahap terbaik terlebih dahulu."