Napoli ke peringkat kalah mati disebalik prestasi tidak menentu

Fatin Ruzaiman
Disember 13, 2023 09:31 MYT
Napoli menamatkan permulaan yang goyah di bawah kendalian jurulatih baru, Walter Mazzarri selepas menewaskan Braga 2-0 awal pagi tadi sekali gus mengesahkan slot mereka ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL).
Tiga kekalahan berturut-turut sejak Mazzarri mengambil alih daripada Rudi Garcia mungkin menjejaskan keyakinan pemain tetapi sebagai tuan rumah, mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk menghalang lawannya merampas tangga kedua dalam Kumpulan C.
Mereka juga masih berpeluang jika kalah tipis satu gol kerana rekod pertemuan mereka adalah lebih baik hasil daripada kemenangan 2-1 di Portugal, tetapi gol sendiri Serdar Saatci pada minit kesembilan menjadi suntikan semangat untuk kelab Serie A itu yang mencatat hanya satu kemenangan dalam enam perlawanan terakhir.
“Selain kelayakan, saya fokus untuk tidak dibolosi kerana pasukan ini terlebih bekerja keras dan sedikit goyah untuk beberapa ketika.
"Kami mahu mencari lebih banyak keseimbangan, beberapa perkara berjalan lebih baik daripada yang lain dan kami membenarkan beberapa pemain untuk berehat juga. Ia adalah hari yang positif,” kata Mazzarri kepada Sky Sport Italia.
"Kami perlu merantai pemain lawan di kotak penalti, memandangkan kami cenderung terlepas kawalan pemain lawan menerusi balingan ke dalam dan organisasi bertahan.
"Kami mampu memenangi semula bola dengan segera dan semua perkara yang pasukan ini lakukan sangat baik pada musim lalu dan jarang tewas.”
#Napoli #UCL
;