Skip to main content

Bola Sepak

Nantes cadang hadiri pengebumian Sala – Halilhodzic

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

emiliano-sala.jpg
Nantes akan memohon untuk mengubah jadual perlawanannya supaya pemain-pemain boleh menghadiri pengebumian Emiliano Sala, demikian disahkan ketua jurulatih, Vahid Halilhodzic.

Polis Dorset mengumumkan kelmarin bahawa mayat yang dikeluarkan daripada bangkai pesawat dari dasar laut Selat Inggeris adalah penyerang itu sambil juruterbang, David Ibbotson, masih hilang.

Nantes, yang menjual Sala kepada Cardiff bulan lalu, telah menurunkan harga tiket kepada €9 bagi perlawanan Ligue 1 di tempat sendiri menentang Nimes esok untuk memberi peluang seramai mungkin penyokong memberi penghormatan.

Halilhodzic berkata kelab itu akan memohon pindaan jadual jika perlu supaya pemain-pemain dapat menghadiri pengebumian Sala, dengan mayatnya sedia untuk diterbangkan ke Argentina.

“Sudah tentu kami akan memohon. Kini, bagaimana dan apa yang akan kami lakukan adalah satu perkara lain. Saya tidak mempunyai maklumat khususnya lagi. Kita akan lihat nanti,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

"Saya tidak tahu apakah yang akan kami lakukan. Kami akan berbincang dengan beberapa pemain yang sangat rapat dengannya. Kami telah bermain tiga perlawanan dalam situasi ini. Kami perlu kuat. 

“Ia sesuatu yang tidak dijangka dan menyedihkan. Kami perlu meneruskan hidup ini tapi saya boleh beritahu anda, ia tidak mudah. Tidak mudah langsung.

"Kami sentiasa mengekalkan harapan. Kami tahu ia amat tipis, bahawa ia hampir satu khayalan. Malangnya, saya mengesyaki dua hari lalu mengenai hakikat ini – ia tidak adil. Saya tahu situasinya berbeza buat keluarga Emiliano dan juruterbang itu. Keadaan sangat teruk.

"Kini kami harus memberi sanjungan buat seseorang yang telah meninggalkan kesan abadi di kelab ini dengan sikap rendah dirinya dan bukan hanya sebagai seorang pemain.

“Dia jelas dikasihi di mana-mana saja. Saya telah melihat hampir setiap orang dalam industri sukan ini  memberi penghormatan kepadanya.

"Sekejap tadi, sebelum latihan, kami mengadakan satu upacara kecil untuk memberi penghormatan kepadanya dengan bermaruah dan kerendahan hati sebagaimana dirinya. Sama ada kami boleh bekerja atau tidak selepas itu, itu perkara lain.”

Cardiff telah mengesahkan mereka akan bekerjasama dengan Cawangan Siasatan Nahas Udara (AAIB) dalam usaha untuk mengenal pasti punca pesawat ringan yang dinaiki Sala itu terhempas.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Emiliano Sala di atas kehilangan mereka,” kata pemilik kelab itu, Vincent Tan, dalam satu kenyataan.

“Moga-moga roh Emiliano tenang. Saya secara peribadi sangat bersedih dengan insiden ini. Anak muda ini harus amat gembira dan berjaya di Cardiff City yang akan menjadi kediaman barunya serta memiliki ramai kawan.”

"Cardiff City akan terus bekerjasama dengan AAIB dan pasukan penyiasat untuk mengetahui bagaimana nahas ini berlaku dan juga untuk membantu keluarga Emiliano.

“Kami telah menawarkan untuk mengaturkan urusan membawa balik mayat Emiliano agar berdekatan dengan keluarganya di Argentina.

"Walaupun dia akan berada di sana, rohnya akan sentiasa berada dalam hati-hati kami. Kami berasakan kehilangan yang amat besar tapi kehilangan terbesar ditanggung oleh keluarga Sala. Semoga rohnya bersemadi dengan tenang.”

Keluarga Sala berkata dengan mayatnya sudah dikenal pasti, ia akan membantu mereka kepada satu pengakhiran.

“Roh kamu di dalam roh saya, ia akan bersinar selama-lamanya, lantas menerangi tempoh kewujudan saya. Saya cintakan kamu, tito,” tulis kakaknya, Romina, di Instagram.

Advertisement

Must Watch Video