Nak kecam, kecam semua - Safawi
Sinar Harian
September 27, 2022 17:16 MYT
September 27, 2022 17:16 MYT
Kapten skuad negara, Safawi Rasid, mempertahankan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh, yang dikritik hebat warganet susulan aksi suram ketika final Malaysia menentang Tajikistan bagi merebut kejuaraan King's Cup di Chiang Mai baru-baru ini.
Safawi turut mengakui kecewa apabila Sumareh menjadi mangsa kritikan di laman sosial.
"Mana-mana sukan ada yang dapat kecaman, ada dapat pujian. Bagi saya Sumareh dapat tangani apa yang dia kena kecam.
"Sebagai salah seorang ketua pasukan, saya rasa benda itu tak patut berlaku kepada Sumareh sebab kita bermain satu pasukan. Nak kecam, kecam semua. Nak puji, puji semua.
"Saya rasa harap tindakan (kecam) penyokong itu tak berlaku lagi. Macam saya cakap, contoh kalau saya tak main bagus orang kecam saya, kalau pemain lain tak bagus akan kena kecam," katanya.
Dia ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) Sepang, malam tadi selepas pulang ke tanah air bersama pasukan dari Chiang Mai, Thailand.
Safawi dilantik sebagai ketua pasukan bersama dua lagi pemain iaitu Syafiq Ahmad dan Dion Cools.
Safawi, 25, bagaimanapun percaya pemain yang berasal dari Gambia itu mampu menangani kecaman dan tekanan tersebut sambil berharap agar segelintir penyokong menghentikan kerja-kerja tidak bertanggungjawab itu.
"Saya rasa macam Sumareh mental dia kuat, jadi tak ada apa bagi dia," katanya.
Dalam saingan jemputan itu, skuad negara kendalian Kim Pan-gon berkenaan muncul naib juara selepas tewas kepada Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti 0-3 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Sumareh menarik kritikan peminat menerusi aksi longgarnya selain hampir dilayangkan kad merah setelah membuat terjahan keras ke atas pemain lawan ketika dia sudah memiliki kad kuning.
Kredit: Sinar Harian