Menjelang aksi pembukaan Liga Super hujung minggu ini, ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, mengakui persiapan pasukannya terjejas disebabkan keadaan cuaca hujan lebat sepanjang beberapa hari lalu yang mengakibatkan banjir di beberapa tempat di negeri Pantai Timur berkenaan.

Bagaimanapun, pengendali itu enggan menjadikannya sebagai alasan untuk pasukannya tidak menunjukkan prestasi terbaik menjelang perlawanan pertama menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Memang keadaan di Terengganu sepanjang beberapa hari lalu hujan lebat tanpa henti serta berangin, jadi daripada segi persiapan kami memang terjejas berdasarkan apa yang sudah kami rancang.

"Kami tidak dapat mengadakan latihan seperti yang dirancangkan.

"Apapun, kami perlu meneruskannya dan tidak boleh berehat. Apa sahaja aktiviti yang boleh kami lakukan, kami lakukan.

"Semalam, ada beberapa pemain kami yang rumahnya dinaiki air tetapi memandangkan cuaca hari ini sudah mula panas, air sudah surut sepenuhnya.

"Jadi pemain kami sudah boleh turun ke latihan, hanya semalam sahaja.

"Alhamdulillah, hari ini cuaca agak baik, jadi kami sudah boleh memulakan latihan seperti biasa.

"Ada empat atau lima hari sebelum perlawanan kami, jadi persiapan akhir sebeginilah yang cukup penting untuk kami bertemu Pahang," katanya.



*Kredit foto: Terengganu FC