Khidmat Nabil Hakim Bokhari, 23, mungkin menjadi taruhan utama Kuala Lumpur (KL) City musim ini berikutan pemergian Danial Ting.

Selepas cemerlang membantu menjulang Piala Malaysia 2021, pertahanan kacukan itu memohon untuk menamatkan kontraknya bagi pulang ke England atas faktor keluarga tetapi skuad Warga Kota berkenaan sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan bagi aksi pembukaan musim ini, Piala Sumbangsih, berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT), kurang dua minggu lagi.

Namun, selepas dua tahun mewakili PJ City, Nabil Hakim sedar masih perlu menambat hati ketua jurulatih, Bojan Hodak, terlebih dahulu sebaik kembali ke pangkuan pasukannya itu.

"Tidak tahu lagi, jurulatih masih mencuba pemain-pemain lain juga.

"Tapi saya akan berikan 100 peratus untuk merebut kesebelasan utama bagi Piala Sumbangsih kelak.

"Yang pertama rasa bangga sebab sebelum ini pernah di bawah bimbingannya.

"Kali ini dapat bekerjasama semula. Mungkin lebih senang (untuk sesuaikan diri) sebab saya sudah tahu corak permainan yang diterapkannya.

"Saya sentiasa bersedia untuk apa-apa perlawanan pun tanpa mengira bermain atau tidak," katanya di padang latihan pasukan, Cheras, hari ini.

Seorang lagi pemain kacukan, Declan Lambert, yang dilahirkan di Australia juga mampu mengisi kekosongan itu, tetapi ia sama sekali tidak melemahkan semangat Nabil Hakim yang menyasarkan satu trofi dan tempat dalam pasukan B-23 atau kebangsaan.


"Persaingan adalah bagus, mungkin kalau tiada saingan saya akan buat sambil lewa.

"Saingan boleh mendorong saya untuk lebih maju," katanya.