EPL
Mustahil untuk cari pengganti Reece James, Ben Chilwell di Chelsea -- Mauricio Pochettino
Mauricio Pochettino menyifatkan ia perkara yang mustahil untuk Chelsea mencari pengganti Reece James dan Ben Chilwell, yang sedang dihantui kecederaan, dalam pasaran perpindahan pemain kerana mereka merupakan "bek sayap terbaik di dunia".
Chilwell, yang menjalani imbasan pada Khamis lalu, mengalami kecederaan hamstring yang memaksanya dikeluarkan pada penghujung kemenangan ke atas Brighton dalam Piala Liga Inggeris (EFL) kelmarin.
Pengurus The Blues itu turut mengesahkan ia kecederaan yang teruk walaupun jangka masa pemulihannya masih belum ditetapkan.
Iklan
James, yang juga merupakan kapten baru pasukan itu, tidak dapat beraksi sejak Chelsea seri 1-1 ketika menentang Liverpool dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 13 Ogos lalu dan dia dijangka tidak akan cergas sebelum waktu rehat antarabangsa.
Kedua-dua pemain itu terlepas sebahagian besar aksi musim lalu akibat kecederaan, di mana Chilwell beaksi sebanyak 23 kali dan James hanya 16 kali dalam saingan liga.
Malo Gusto, yang menggantikan James, juga akan terlepas perlawanan Selasa ini di Fulham selepas dilayangkan kad merah menentang Aston Villa.
Selain itu, Marc Cucurella, Levi Colwill dan Axel Disasi, boleh diturunkan sebagai pemain bek sayap tetapi Pochettino berkata, tiada pengganti boleh diharapkan untuk melakukan tugas seperti James dan Chilwell.
"Di semua kelab, ketiadaan pemain penting akan memberi impak.
“Jika persoalannya ‘adakah kami merindui mereka?’, Ia sudah tentu. Reece dan Chilwell adalah pemain terbaik apabila kondisi mereka berada di tahap optimum. Bagi saya, semua pasukan yang kehilangan pemain penting akan menjejaskan prestasi keseluruhan permainan.
"Mengapa kami tidak menandatangani Ben Chilwell dan Reece James yang lain? Kerana hanya ada seorang Reece James dan seorang Ben Chilwell sahaja.
“Jika skuad mempunyai seorang pemain cemerlang dalam satu posisi, ia sukar untuk membawa masuk seorang lagi dalam posisi yang sama kerana dia akan berakhir di bangku simpanan. Ini mengenai keseimbangan." kata Pochettino.
Chelsea mungkin akan bertandang ke Craven Cottage tanpa 11 pemain merangkumi senarai kecederaan panjang dan ditambah dengan penggantungan Gusto dan pemain penyerang, Nicolas Jackson.
Tetapi, kelibat Carney Chukwuemeka mungkin akan terlihat dalam skuad itu selepas tidak beraksi sejak menjalani pembedahan lutut pada Ogos lalu.
Ketika ditanya mengenai pendapatnya atas cadangan pengurus Burnley, Vincent Kompany, tentang risiko kecederaan dapat di elakkan jika jumlah perlawanan pemain terhad dalam satu musim, Pochettino berkata: "Mungkin ada pemain yang tidak dapat mengharungi 70 perlawanan sepanjang musim ini tetapi akan ada pemain lain boleh lakukannya.
“Sukar untuk disamaratakan. Kami tidak boleh letak beberapa had kepada pemain. Semua pemain ingin beraksi dalam setiap perlawanan. Apabila pemain terbaik yang mahu bermain, bagaimana saya ingin menolak?”
Tambahnya lagi, dia mungkin memilih corak permainan tanpa penyerang dengan ketiadaan Jackson.
Armando Broja pula belum bersedia untuk diturunkan sementara Christopher Nkunku hanya dapat diturunkan pada Disember depan.
"Perkara paling penting adalah menyesuaikan diri dengan pemain yang ada dan mencari cara untuk beraksi.
“Mungkin corak berbeza boleh digunakan seperti kami boleh bermain dengan seorang penyerang atau tanpa penyerang.
“Saya perlu menilai semua skuad dan mengambil keputusan itu,” katanya lagi.
Must-Watch Video