MUSA kini dikenali sebagai MUFC
Oktober 31, 2016 02:39 MYT
Melaka United bakal diberikan imej baru dari Melaka United Soccer Association (MUSA) kepada Melaka United Football Club (MUFC) sebagai salah satu langkah penstrukturan semula skuad Hang Tuah itu.
"Visi saya amat jelas, iaitu pasukan ini perlu terus cemerlang dan untuk itu, mereka harus bekerja keras untuk menjadi yang terbaik dengan membawa nama Melaka United Football Club,” kata Presiden Melaka United, Dato Seri Utama Idris Haron.
Idris mengulas dengan lebih lanjut, pihak pengurusan sedang berusaha untuk melaksanakan langkah penswastaan pengurusan bola sepak negeri supaya dilihat lebih terurus dan efisien, selaras dengan spesifikasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MUSA itu adalah antara aspek yang diambil kira bagi memastikan Melaka United terus berbisa dalam saingan di pentas liga tempatan dan antarabangsa.
Melaka United bakal beraksi dalam Liga Super pada musim hadapan selepas muncul juara Liga Perdana 2016, dengan mencatatkan 15 kemenangan daripada 22 perlawanan, selain turut menghasilakan lima keputusan seri dan dua kekalahan.
Dalam pada itu, Ilija Spasojevic muncul sekalu penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini dengan menghasilkan 24 gol.
Melaka United menjulang trofi kejuaraan pada 22 Oktober lalu di Stadium Hang Jebat Melaka, selepas menamatkan perlawanan terakhir liga bertemu Sime Darby, yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1.