MSSM: Johor nafi langkah Selangor ke final bola sepak B-18

Shaiful Shamsudin
September 19, 2024 18:38 MYT
Majlis Sukan Sekolah (MSS) Johor menafikan langkah Selangor untuk layak ke final separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 B-18.
Turun beraksi di laman sendiri, Johor mempamerkan corak permainan meyakinkan sebaik wisel permainan dibunyikan dengan melancar serangan bertali arus ke arah kubu lawan.
Selangor sewajarnya berterima kasih kepada penjaga gol mereka, Mohammad Iman Faiz Mohd Fadzil, yang tampil cemerlang sepanjang 40 minit babak pertama.
Usaha tidak berputus asa skuad kendalian Fahmi Mat Saad itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-50 menerusi tandukan kemas Abid Safaraz Rozaidi yang tidak dikawal pertahanan lawan.
Johor terus selesa selepas itu apabila pemain gantian, Haziq Aziz Ahyok Abdul Qayyum, menghadiahkan jaringan kedua pada minit ke-72, sekali gus mengesahkan kemaraan ke pentas final buat tahun ketiga berturut-turut dan akan menghitung pertemuan dengan Pahang.
"Alhamdulillah perlawanan hari ini memberangsangkan. pemain saya turun dengan motivasi berbeza. Masing-masing ada kelebihan dan siapa yang ambil peluang akan duduk di atas.
"Barisan kejurulatihan yakin dapat menghasilkan yang terbaik dan mempertahankan kejuaraan," katanya di Nadi Arena selepas perlawanan.
#MSSM
;