BOLA SEPAK
MPKB BRI-UBes FC duta promosi Negeri Kelantan – Ahmad Yakob
Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam – Urus Setia Belia dan Sukan (MPKB-UBeS) FC kekal mengutamakan prinsip patuh syariah dalam saingan Piala FAM, musim ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, menyifatkan pelaksanaan konsep patuh syariah dalam bidang sukan selari dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri yang meletakkan Islam sebagai asas dalam kehidupan harian rakyatnya.
“Pemain dan pegawai bukan sahaja diwajibkan memakai pakaian menutup aurat, malah dilarang merokok bagi menjaga nama baik dan imej pasukan tersebut.
Iklan
“Kami sememangnya ke arah (bersukan sambil mematuhi syariah Islam) kerana kami mahu mendisiplinkan pemain supaya menutup aurat, mempunyai akhlak yang baik dan bermain dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi,” katanya.
Ahmad Yakob ditemui ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pasukan MPKB BRI-UBeS FC di Kota Bharu, kelmarin.
Ahmad juga mahukan pasukan bersatus kelab itu bertindak sebagai duta bagi mempromosikan negeri Kelantan apabila beraksi di tempat lawan.
“Kita juga mahukan mereka (skuad ini) bertindak sebagai duta untuk mempromosikan negeri ini apabila beraksi di luar Kelantan dalam saingan Piala FAM,” katanya.
Terdahulu, Pasukan MPKB BRI-UBeS FC menerima suntikan semangat apabila menerima tajaan pakaian sukan daripada Gomogi Premium Resources bernilai RM100,000 yang disampaikan Ketua Pegawai Operasinya, Mahizi Mahmood.
Must-Watch Video