LIGA INGGERIS
Moutinho lanjut kontrak setahun di Wolves
Joao Moutinho menandatangani kontrak baru selama setahun bersama Wolves bagi menghadapi musim 2022-23.
Pemain kebangsaaan Portugal itu memegang status ejen bebas selepas kontrak asalnya di Stadium Molineux tamat pada 1 Julai lalu.
Dia kelihatan akan menyertai kelab baru tetapi Wolves semalam mengumumkan dalam laman web rasmi mereka bahawa pemain berusia 35 tahun itu telah bersetuju untuk mengikat kesepakatan baru selama setahun.
Perbincangan mengenai kontrak baru itu telah berlangsung panjang, di mana Moutinho dilaporkan enggan menandatangani kontrak selama dua tahun tetapi Pengarah Wolves, Scott Sellars, gembira dengan persetujuan terbaru berkenaan.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sepanjang Joao di kelab ini, dia telah memainkan peranan penting, membawa pengalaman dan kualitinya ke dalam pasukan ini, jadi kejayaan dapat menandatanganinya semula merupakan satu pemangkin yang besar buat kami," kata Sellars.
"Dengan kontrak ini, ia tentang memberikan kegembiraan buat semua orang, buat kelab dan pemain, dan ia bukanlah sesuatu yang mudah.
"Dia membawa pengaruh yang besar dalam bilik persalinan, bersama pemain muda dan menetapkan standard untuk mereka ikuti," katanya.
Moutinho akan melalui musim kelimanya sebagai pemain Wolves, di mana dia telah mencatatkan 176 penampilan buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan 39 daripadanya dilakukan pada musim lalu.