Skip to main content

Bola Sepak

Mourinho: Eriksen tiada motivasi di Spurs

eriksen.jpg
Jose Mourinho mendedahkan Christian Eriksen telah memberitahunya keinginan meninggalkan kelab itu pada hari pertama beliau bergelar pengurus Tottenham.

Eriksen, yang menyertai Spurs pada 2013, mengambil keputusan meninggalkan kelab London Utara itu awal minggu ini dengan menyertai gergasi Serie A, Inter.

Pemain tengah kelahiran Denmark itu, yang membuat penampilan sulung ketika Inter meraih kemenangan 2-1 ke atas Fiorentina dalam saingan Coppa Italia, Rabu lalu, enggan menandatangani kontrak baru bersama Tottenham dan hanya berbaki enam bulan daripada perjanjian terdahulu.

Mourinho mengakui Eriksen bermain seperti seorang yang tidak memiliki motivasi sejak beberapa bulan lalu, namun menegaskan tidak meragui sikap profesional pemain berusia 27 tahun itu.

"Kami tidak memberitahu kerana perjanjian moral dengan Eriksen tetapi sejak hari pertama saya tiba di kelab, dia memberitahu saya bahawa dia tidak mahu melanjutkan kontraknya," kata Mourinho, yang bakal berdepan Manchester City esok.

"Jadi, ia terletak kepada saya dan Daniel Levy untuk menguruskan situasi tersebut -- bagi saya, memiliki pemain tanpa motivasi tetapi masih lagi mempamerkan sikap profesional dan menghormati kelab ini -- dan bagi Levy, daripada sudut perniagaan, berupaya mendapatkan tawaran terbaik dengan kontrak yang berbaki enam bulan.

"Saya cuba memujuk Toby [Alderweireld] ketika pemain itu turut ragu-ragu (mengenai kontrak lanjutan) tetapi Eriksen memberitahu keputusannya telah dibuat.

"Sejak itu, saya cuba untuk membentuk pasukan tanpa Eriksen. Ia adalah sebab mengapa saya kurang menurunkannya, namun dia tetap berusaha untuk membantu pasukan."

Spurs melabur semula daripada yuran perpindahan yang diterima daripada penjualan Eriksen dengan mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Belanda, Steven Bergwijn daripada PSV manakala Gedson Fernandes menyertai pasukan secara pinjaman selama 18 bulan daripada Benfica.



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found