Skip to main content

Bola Sepak

Morales: PKP langkah terbaik atasi penularan coronavirus

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

romel-morales.jpg
Pemain import Melaka, Romel Morales, percaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan Malaysia ketika ini adalah kaedah terbaik untuk menangani penularan wabak COVID-19.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu berkata walaupun merindui keluarganya di Colombia, dia harus patuh kepada garis panduan dikeluarkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang tidak membenarkan mana-mana pemain asing dalam Liga Malaysia keluar dari negara ini semasa penguatkuasaan PKP bermula 18 Mac hingga 31 Mac ini.

"Apa yang dikenakan kerajaan Malaysia pada masa ini adalah demi kepentingan semua pihak dengan tidak membenarkan mereka keluar dan kekal berada di rumah ketika saat yang sukar ini," katanya dipetik sebagai berkata dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

"Dalam hal ini, saya perlu menerima hakikat untuk berjauhan dengan keluarga walaupun sukar kerana tidak dapat berkumpul bersama mereka pada waktu ini. Pada masa ini, saya tinggal di rumah dengan rakan-rakan di Melaka dan berharap semuanya akan kembali normal secepat mungkin." 

Sementara itu, Morales percaya keputusan oleh MFL untuk mengenakan hukuman pemotongan tiga mata adalah sebagai pengajaran untuk pasukan supaya sentiasa menjaga hal ehwal pemain mereka.

Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan pemotongan tiga mata dikenakan ke atas skuad Melaka berikutan pasukan itu gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

"Apa yang kami perlu lakukan sekarang adalah bersabar dan kekalkan kecerdasan pemain selain bekerja keras untuk bangkit semula selepas kekecewaan ini. Saya tidak akan berputus asa dan secara jujurnya, saya teringin turun beraksi tetapi kesihatan harus diutamakan," tambahnya.

Morales menjaringkan dua gol bersama rakan sepasukannya, Uche Agba, untuk Melaka dalam empat perlawanan pertama.

Terdahulu, MFL mengeluarkan garis panduan kepada semua pasukan yang bersaing dalam Liga-M supaya tidak mengadakan sebarang sesi latihan atau perlawanan persahabatan semasa penguatkuasaan PKP.

Pemain-pemain asing yang beraksi dalam Liga-M juga tidak dibenarkan meninggalkan negara ini kerana dikhuatiri mereka tidak akan dibenarkan masuk semula berikutan sekatan ke atas kemasukan asing ke negara ini sebagai usaha kerajaan untuk menangani penularan COVID-19.

-- BERNAMA

Advertisement

Jadual

competition-logo
Liga Super Malaysia
Gameweek 11 of 26
Jumaat, 05 Dis
09:00 PM
Terengganu FC-team-logo Terengganu FC
Kuching City FC-team-logo Kuching City FC
Sabtu, 06 Dis
05:00 PM
PDRM FC-team-logo PDRM FC
Sabah FC-team-logo Sabah FC
08:30 PM
Melaka FC-team-logo Melaka FC
Negeri Sembilan-team-logo Negeri Sembilan
Ahad, 07 Dis
08:15 PM
DPMM FC-team-logo DPMM FC
Imigresen FC-team-logo Imigresen FC
09:00 PM
Penang FC-team-logo Penang FC
Selangor FC-team-logo Selangor FC
Rabu, 17 Dis
09:00 PM
Kuala Lumpur City FC-team-logo Kuala Lumpur City FC
Johor Darul Ta'zim FC-team-logo Johor Darul Ta'zim FC

Must Watch Video