SUMBANGSIH
Morais tidak salahkan Izham
Penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan, nyata gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya hingga memudahkan tugas Pablo Pallares mencipta jaringan buat Kedah pada minit ke-15 sebelum skuad selatan tanah air itu bangkit melakar kemenangan 2-1 dalam Piala Sumbangsih di Larkin, malam tadi.
Izham pada ketika itu dilihat tidak menerkam ke arah bola dan hanya melompat untuk membuka ruang kepada Pallares merembat rendah selepas menerima umpanan menarik daripada Sandro da Silva.
Bagaimanapun, jurulatih, Ulisses Morais, enggan menghukum penjaga gol itu walaupun kesilapannya boleh membuatkan skuad Harimau Selatan berputih mata.
Iklan
Menurut Morais, dalam perlawanan bola sepak, setiap pemain pasti gugup terutama dalam aksi sulung, namun Izham sedar mengenai kesilapan yang dilakukannya dan kembali bangkit memperagakan ketangkasannya sepanjang perlawanan itu.
"Saya tidak menyalahkan Izham kerana kami memberi ruang kepada Kedah menjaringkan gol dan kesilapan itu datang daripada semua pemain tetapi mereka sedar betapa pentingnya kemenangan di laman sendiri apabila bangkit selepas jaringan lawan itu.
"Memang benar, saya tidak suka apabila berlakunya kesilapan, namun kesilapan dalam satu perlawanan bola sepak adalah perkara biasa.
"Apa yang mustahak, pemain berjaya mengubah keputusan perlawanan dan memenangi perlawanan tersebut, sekali gus menjulang trofi pertama musim ini dan mengutip tiga mata," katanya.
Harimau Selatan bangkit mencipta kemenangan 2-1 hasil jaringan Luciano Figueroa pada minit ke-28 dan Marcos Antonio (m-58) untuk memastikan mereka kembali merampas Piala Sumbangsih.
Must-Watch Video