Skip to main content

Bola Sepak

Morais lega kutip tiga mata dalam aksi padang kering

ghaddar.jpg
Keadaan padang di Stadium Negeri, Kuching,  menjadi punca pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sukar beraksi cemerlang malam tadi, kata ketua jurulatihnya, Ulisses Manuel Morais.

Katanya, kualiti padang yang agak rendah memberi impak kepada kedua-dua pasukan hingga sukar beraksi pada kemampuan sebenar.

"Pada masa yang sama, saya kagum dengan semangat juang Sarawak yang kental.

"Biarpun berada dalam kedudukan agak terbawah dalam tangga liga, aksi malam ini (tadi) mencerminkan sebaliknya.

"Pasukan ini bermain dengan cukup baik dan pemain mudanya berjaya memberi tentangan yang sengit," kata jurulatih kelahiran Portugal itu.

Jelasnya, JDT terpaksa bekerja keras untuk menang malam tadi dan beliau gembira Mohammad Ghaddar dan Safiq Rahim dapat menterjemahkan peluang dengan jaringan gol.

"Yang penting adalah menang. Kami menyasarkan tiga mata dan kami berjaya memperolehnya.

"Objektif kami adalah suku akhir Piala Malaysia," katanya yang mengeluarkan kedua-dua penjaring gol tersebut seusai tugas mereka melaksanakan jaringan.

JDT kini berada di kedudukan kedua carta Kumpulan D Piala Malaysia dengan 7 mata, di belakang Selangor dengan 10 mata.

"Kesemua pemain berjaya melaksanakan tugas masing-masing dengan baik.

"Dan kemenangan ini adalah kejayaan kolektif kerana kesemua pemain beraksi seperti yang diarahkan, maka kami berjaya mencipta gol.

Tiga mata penuh ini, katanya, adalah satu kepuasan kerana sengsara beraksi dalam keadaan padang yang kering.

Advertisement

Must Watch Video