Skip to main content

Bola Sepak

Modric layak julang Ballon d'Or, kata Lovren

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

luka-modric-cropped_1qesewai9kwr41iqo3m5ydmhl9.jpg
Pemain Croatia, Dejan Lovren, percaya rakan sepasukannya, Luka Modric, wajar ada dalam senarai mendapatkan anugerah Ballon d'Or.

Pemain tengah Real Madrid itu menampilkan aksi terbaiknya dalam saingan Piala Dunia 2018 setakat ini apabila mengemudi Croatia layak ke pusingan kedua.

Jaringan kedua pasukan yang dihasilkannya ketika membenam Brazil 3-0 di Nizhny Novgorod telah dilihat antara salah satu detik hebat saingan di Russia.

Modric turut menyempurnakan sepakan penalti ketika Croatia membenam Nigeria 2-0 dalam aksi pertama Kumpulan D dan Lovren berpendapat bahawa pemain berusia 32 tahun itu wajar meraih anugerah individu dalam kariernya.

"Menjadi satu penghargaan apabila dapat beraksi bersama Modric, pemain terbaik di dunia ketika ini," ujar Lovren.

"Modric akan meraih lebih banyak perhatian sekiranya dia adalah pemain Jerman atau Sepanyol. Malah, mungkin dia adalah pemenang Ballon d'Or tetapi dia tidak menerimanya kerana berasal dari negara yang kecil."

Dalam masa sama, Lovren mendakwa dia menyaksikan semua perlawanan Piala Dunia 2018 dan menganggap saingan kali ini mempamerkan kejutan besar.

"Ia menjadi satu kejohanan yang penuh kejutan dan pada waktu ini, tiada pasukan yang dilihat sebagai calon juara serta mudah mendapatkan kemenangan.

"Kami harus menghormati pasukan seperti Jerman, Brazil, Sepanyol dan Belgium kerana mereka ternyata hebat.

"Sehingga kini, tiada pasukan lain yang mempamerkan aksi terbaik di atas padang berbanding mereka," ujarnya lagi.
 

Advertisement

Must Watch Video