Misi Frank Berndhart pacu Kelantan FC ke kelompok 10 terbaik Liga Super

Shaiful Shamsudin
April 12, 2023 19:34 MYT
Pemilik pasukan Kelantan FC, Norizam Tukiman, memberi amanat besar untuk digalas Frank Berndhart.
Ketua jurulatih berasal dari Jerman yang dilantik minggu lalu itu kini perlu lebih serius untuk mengendali skuad The Red Warriors apabila petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan ke atasnya ialah sasaran sekurang-kurangnya menduduki tangga 10 terbaik tatkala pusingan pertama berbaki lima perlawanan lagi.
"Kami memang tetapkan KPI untuk Frank Berndhart.
"Kami ingin berada di kedudukan 10 terbaik dalam pusingan pertama, sekarang kami di tempat ke-13.
"Saya harap kami teruskan tingkat prestasi untuk capai 10 terbaik, seterusnya lima terbaik," katanya dalam temu bual bersama Astro Arena.
Dalam pada masa sama, Zamsaham turut berkongsi bahawa akan ada jurulatih kecergasan yang akan turut diserapkan dalam skuad itu.
Daripada lapan perlawanan Kelantan hanya mencatat satu kemenangan iaitu ketika menewaskan Penang FC 2-0 pada 5 Mac lalu sementara mencatat enam kekalahan dengan yang terbesar ialah ketika berdepan Terengganu apabila tumbang 0-5.
"Dalam tugasan pertamanya melawan Selangor, babak pertama nampak OK, kami boleh bertahan tapi dalam separuh masa kedua, tahap kecergasan pemain nampak (menurun).
"Selepas ini saya akan bawa jurulatih fizikal yang baru untuk memperkemaskan Kelantan FC.
"Saya dan Berndhart berkomunikasi setiap hari untuk betulkan sesuatu yang sedang bermasalah.
"Dia sangat terbuka dan bersungguh-sungguh," katanya lagi.
#liga super #Kelantan FC #DemiLigaKita #Frank Berndhart
;