Milos Gordic ratapi pemergian Sony Norde, Nafuzi Zain dari Kedah Darul Aman
Muzaffar Musa
Disember 3, 2024 14:33 MYT
Disember 3, 2024 14:33 MYT
Pemain Import Kedah Darul Aman, Milos Gordic, meratapi pemergian ketua pasukan itu, Sony Norde, tidak lama selepas kehilangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
Dalam satu kiriman Instagram Story, pemain kebangsaan Serbia itu meluahkan kebimbangan mengenai masa depannya dan pasukan itu berdasarkan kemelut kewangan yang sedang melanda mereka.
Pada Isnin lalu, Kedah mengesahkan aksi kedua pusingan 16 Unifi Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur City menjadi aksi terakhir Sony bersama kelab itu.
“Saya berasa sangat sedih. Selepas jurulatih, awak (Sony) juga perlu meninggalkan kami. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku kepada kami dan kepada kelab ini. Amat sukar untuk saya menyatakan ini.
“Tetapi saya amat risau dan sedih dengan segala yang sedang berlaku. Apakah nasib kami dan berapa lama kami perlu menderita tanpa gaji?
“Saya meminta maaf kepada penyokong yang sentiasa mengikuti kami, memberi sorakan dan kasih sayang yang kami perlukan tetapi ini adalah yang terbaik yang boleh kami berikan buat masa ini,” katanya.