MFL dijangka umum berkaitan geran tahunan
Bernama
Julai 3, 2019 21:18 MYT
Julai 3, 2019 21:18 MYT
Badan pengendali Liga Malaysia (Liga-M), Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dijangka akan membuat pengumuman berkaitan geran tahunan kepada pasukan bertanding sejurus selepas mesyuarat di Johor Bahru, esok.
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, percaya perkara itu akan didedahkan secara terperinci berhubung permasalahan mengenai bila dan jumlah geran tahunan yang akan diberikan.
"Setiap pasukan sudah lama menunggu, jadi sudah sampai masanya MFL mengambil ketetapan ataupun mengumumkan keputusan supaya menghilangkan keraguan dan keresahan mereka.
"Kami harap tanda tanya selama ini akan dapat dileraikan," katanya kepada pemberita dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PNBS) di Seremban, hari ini.
Turut hadir, Tunku Besar Tampin yang juga Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia Dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani; dan Naib Presiden FAM, Joehari Mohd Ayub.
Mengulas lanjut, beliau yang juga timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata soal geran tahunan ini adalah bergantung kepada nilai tajaan yang diperoleh.
Mohd Yusoff berkata sebelum ini setiap pasukan Liga Super dijanjikan geran tahunan RM3 juta manakala pasukan Liga Perdana RM1 juta berdasarkan nilai yang bakal diperoleh daripada sumbangan Telekom Malaysia (TM).
"Apabila TM menarik diri pada musim ini, maka kami bergantung kepada sumbangan baru.
"Jadi, nilai geran tahunan bergantung kepada berapa banyak yang kami dapat daripada penaja yang baru, tidak semestinya RM3 juta dan RM1 juta. Tetapi seboleh-bolehnya kami mengharapkan MFL akan berusaha ke arah mendapatkan nilai seperti mana yang (diuar-uarkan) sebelum ini walaupun ada perubahan penaja.
"FAM berharap supaya masalah geran tahunan ini dapat diselesaikan sebaik mungkin demi meningkatkan mutu bola sepak negara. Kami juga berharap MFL dapat mencari alterntif terbaik untuk semua pasukan supaya mereka dapat bergerak dengan lebih baik pada tahun depan," katanya.
Mengenai pemilihan kepimpinan baru Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dalam kongres agung luar biasa (EGM), Sabtu ini, beliau berkata persatuan bolasepak jajahan (PBJ) sudah matang dan bijak untuk memilih kepimpinan baru KAFA.
Menurutnya, The Red Warriors (TRW) merupakan satu nama besar dan sudah tentu penyokongnya mempunyai harapan yang besar juga supaya KAFA kembali kepada 'tempat asalnya'.
"Saya tidak mahu ulas banyak sebab perkara ini adalah masalah dalaman KAFA.
"Namun, apa yang saya hendak katakan, pilihlah calon yang betul dan benar-benar layak untuk menerajui KAFA supaya apa juga masalah yang berlaku sebelum ini tidak berulang lagi dan dapat memacu KAFA ke era yang lebih baik.
"Saya ucapkan selamat maju jaya buat siapa pun bakal terpilih sebagai presiden KAFA," katanya.
-- BERNAMA