BOLA SEPAK
MFL Challenge Cup: Saya hormati Kedah boleh bangkit meski ada masalah -- P. Maniam
Separuh akhir pertama MFL Challenge Cup 2024/25 menyaksikan enam gol tercipta di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dalam perlawanan penuh drama berdepan PDRM menentang Kedah Darul Aman (KDA) selepas melakar keputusan seri 3-3, malam tadi.
Ketua jurulatih PDRM, P. Maniam, menghormati barisan jurulatih dan pemain KDA yang beraksi dengan baik walaupun bergelut dengan isu tunggakan gaji sebelum ini untuk bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat anak buahnya itu.
"Ia perlawanan yang bagus, saya sangat hormati Kedah kerana walaupun mereka ada masalah tetapi boleh bangkit. Mereka punyai pemain berkualiti dan jurulatih.
"Secara keseluruhannya ia aksi yang baik, dan kami perlu menunggu perlawanan timbal balik nanti." katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih interim Kedah Darul Aman (KDA), Victor Andrag, mengharapkan permainan lebih baik ditonjolkan anak buahnya di Alor Setar nanti dalam aksi timbal balik.
Tambahan pula ia merupakan satu-satunya peluang untuk mereka meraih trofi musim ini.
"Kami tidak boleh ambil mudah, kami tahu PDRM juara tahun lepas. Kami harus terus beri motivasi buat pemain." tambahnya.