CHALLENGE CUP

MFL Challenge Cup: 'Kami perlu kerja keras kembalikan kepercayaan penyokong Selangor'

04/02/2025 | 01:54 MYT

Pengendalu Selangor, Katsuhito Kinoshi, berharap kejayaan The Red Giants mara ke perlawanan akhir Piala Cabaran dapat mengembalikan kepercayaan penyokong setia Gergasi Lembah Klang.

Namun, Kinoshi mengakui pasukan yang kini menghuni tangga kedua Liga Super itu masih perlu bekerja keras bagi meningkatkan kualiti permainan menjelang baki saingan musim ini.

“Kami berharap pencapaian ini secara tidak langsung dapat mengembalikan kepercayaan penyokong menerusi peningkatan prestasi semasa.

“Kami perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka kerana penyokong adalah sebahagian daripada pasukan Selangor,” katanya selepas pasukannya mengesahkan tempat di final Piala Cabaran menentang PDRM.

Dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor menewaskan Penang FC 1-0 hasil jaringan Alvin Fortes pada minit ke-66, sekali gus mara ke final dengan agregat 2-0.

Perlawanan pertama di Stadium Bandaraya sebelum ini, Selangor meraih kemenangan tipis 1-0 selepas kapten Penang, Rafael Vitor, tertampan hantaran lintang Quentin Cheng ke gawang sendiri.

Menariknya, perlawanan di Stadium MBPJ, yang kini mampu menampung lebih 10,600 penonton selepas kerja-kerja naik taraf, mencatat kehadiran seramai 3,300 penyokong pada Ahad.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Mengulas perlawanan menentang The Black Panthers, Kinoshi memuji ketahanan mental dan fizikal anak buahnya yang berjaya mengekang asakan skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail.

“Separuh masa pertama tidak begitu baik, tetapi pada separuh masa kedua, kami bangkit dan menjaringkan gol pertama. Namun, penghujung perlawanan menjadi detik mendebarkan.

“Mereka banyak menggunakan hantaran jauh ke arah penyerang, menjadikan ia satu cabaran buat kami. Namun, pemain bertahan dengan baik dan memastikan gawang tidak dibolosi.

“Dalam bola sepak, prestasi boleh turun naik. Kami masih belum tewas, tetapi tidak boleh terlalu yakin. Keyakinan perlu ada, cuma jangan berlebihan,” katanya mengenai rekod sembilan perlawanan tanpa kalah pasukannya.

PIALA CABARAN

15 FEBRUARI (SABTU)

FINAL PERTAMA

Selangor FC lwn PDRM FC

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)

22 FEBRUARI (SABTU)

FINAL KEDUA

PDRM FC lwn Selangor FC

(Stdm Majlis Perbandaran Selayang, 9 malam) - Sinar Harian

#bola sepak #Selangor #MFL Challenge Cup
;