BOLA SEPAK

MFL Challenge Cup: Kami mesti buat yang terbaik untuk penyokong -- Jurulatih Selangor

31/01/2025 | 01:23 MYT

Selangor menyedari harapan tinggi daripada penyokong yang mahukan skuad Gergasi Merah itu mara ke final dan menjuarai Piala Cabaran musim ini.

Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi berkata, pasukan itu akan turun dengan permainan terbaik ketika menentang Penang dalam perlawanan separuh akhir kedua sekali gus cuba memburu tempat ke perlawanan akhir untuk tidak mengecewakan penyokong.

“Sebelum perlawanan, kita mesti berpegang keyakinan boleh menang, tetapi semasa perlawanan kita tidak tahu apa yang akan berlaku.

Selangor mempunyai kelebihan satu gol selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Penang FC dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Bandaraya baru-baru ini.

Justeru, aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Ahad ini bakal menjadi penentu sama ada mereka mampu untuk mara ke perlawanan akhir.

“Namun, kami mesti buat yang terbaik buat para penyokong. Mereka sentiasa menyokong dan bersorak sepanjang 90 minit untuk pasukan semasa perlawanan, jadi kami perlu respon dengan keputusan positif,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Selangor pada Khamis.

Jika berjaya, ia bakal mencerahkan peluang Selangor menamatkan penantian memenangi piala selepas kali terakhir mereka menjadi juara Piala Malaysia pada 2015.

Dalam pada itu, Kinoshi mengakui Penang bukan lawan mudah selepas mereka hanya mampu menang tipis pada aksi pertama di laman lawan itu.

“Kami akan melakukan beberapa perubahan dan sudah tentu memperbaiki kelemahan selepas aksi pertama.

“Kami juga perlu lebih agresif dalam perlawanan dan lebih baik dalam penguasaan bola,” katanya. - Sinar Harian

#bola sepak #Selangor #Penang #MFL Challenge Cup
;