Skip to main content

Bola Sepak

Messi digantung tiga bulan ekoran tuduh CONMEBOL

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lionel-messi.jpg
Lionel Messi digantung tiga bulan di peringkat antarabangsa setelah menuduh Konfederasi Bola Sepak Amerika Syarikat (CONMEBOL) "menerima rasuah" ketika kempen Copa America 2019. 

Bintang Barcelona itu dibuang padang bersama-sama Gary Medel selepas terbabit dalam satu insiden perbalahan bulan lalu ketika Argentina mengalahkan Chile 2-1 dalam aksi play-off perebutan tempat ketiga/keempat.

Keputusan pengadil itu diragui memandangkan dia tidak menggunakan video bantuan pengadil (VAR). 

Selepas perlawanan, Messi tidak ikut serta dengan rakan sepasukannya untuk menerima pingat sehingga mencetuskan pertanyaan dalam kalangan pemberita.

Messi menjelaskan tindakannya itu kerana enggan 'bersekongkol dengan rasuah dan ia jelas tidak menghormati prestij Copa."

Dia juga mengkritik pengadil perlawanan ketika Argentina tewas kepada tuan rumah, Brazil, dalam pertembungan separuh akhir dengan menuduh mereka dan VAR memihak kepada barisan kendalian Tite yang muncul juara setelah menundukkan Peru 3-2 dalam aksi final. 

Sebagai hukuman atas kekecohan tersebut, Messi akan menjalani penggantungan selama tiga bulan yang berkuat kuasa semalam, sekali gus tidak dapat diturunkan Argentina sehingga November depan. 

Ini bermakna dia akan terlepas aksi persahabatan menentang Chile, Mexico dan Jerman di samping turut didenda $50,000 (RM207,850).

CONMEBOL memberikan tempoh selama tujuh hari untuk Messi membuat rayuan.

Advertisement

Must Watch Video