BOLA SEPAK

Mengenang Khalid Ali: Seorang yang tegas tapi peramah

07/02/2024 | 01:14 MYT
Legenda bola sepak negara, Allahyarham Khalid Ali, yang menghembuskan nafas terakhir semalam, merupakan seorang yang tegas di dalam dan luar padang, namun peramah serta mudah didekati.
Pengulas sukan, Zainal Abidin Rawop, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat arena sukan negara.
Beliau berkata, Allahyarham juga seorang yang kritis memiliki pandangan yang bernas dalam mencetuskan pelbagai idea demi memajukan bola sepak negara.
“Karakternya memang begitu (tegas tetapi peramah). Tak pernah tunjuk sombong, mana yang dia tak suka dia cakap dan mana yang dia suka, dia beritahu dia suka.
“Satu kehilangan besar buat bola sepak negara. Allahyarham mungkin tidak beri sumbangan di atas padang (sebagai jurulatih) tapi pandangan bernas dan cakap dia betul berdasarkan pengalaman dan pengamatannya.
“Pendapatnya memang sukar nak sangkal dan kita perlu hormat. Malah Allahyarham banyak jasa kepada negara."
Allahyarham disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat awal Ramadan tahun lalu menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya pada jam 3.03 petang.
Khalid sebelum ini dimasukkan ke hospital selepas keadaannya yang tidak mengizinkan serta tidak sedarkan diri beberapa hari sebelum akhir riwayatnya.
Bekas pemain Selangor itu menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1977 hingga 1985, yang mana pencapaian terbaiknya membantu skuad Harimau Malaya layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia.
--Sinar Harian
#bola sepak #Khalid Ali #Belasungkawa
;