Mengapa ia berlaku? Flick akui kesilapan ketika tinggalkan Bayern Munich
Ammar Hakim
September 20, 2022 07:56 MYT
September 20, 2022 07:56 MYT
Jurulatih Jerman, Hansi Flick, mengakui dia telah melakukan kesilapan ketika perpindahan kontroversinya dari Bayern Munich, berkata, "Saya kadang-kadang bertanya kepada diri sendiri - 'Mengapa ia berlaku?'"
Flick bercakap dari kem latihan Jerman menjelang pertembungan Liga Negara-Negara UEFA berdepan Hungary dan England.
Dia meninggalkan Bayern pada Jun 2021 di tengah-tengah khabar angin bahawa dia telah berselisih dengan pengarah sukan, Hasan Salihamidzic, walaupun merupakan salah seorang jurulatih paling berjaya dalam sejarah Bayern.
"Saya fikir saya akan melakukan satu atau dua perkara secara berbeza sekarang," kata Flick kepada Frankfurter Allgemeine Zeitung.
"Sememangnya perbicangan telah berjalan dengan baik -- kami cuba duduk berbincang untuk menangani perkara tersebut dan membiarkan semua pihak bersuara.
“Pada penghujung masa saya di Bayern, terdapat ketika saya tersilap langkah.
“Sudah tentu ada saat-saat saya tidak adil kepada pasukan.”
Mengambil alih sebagai jurulatih sementara selepas pemecatan Niko Kovac pada November 2019 dengan pasukan menghuni tempat keempat liga, Flick mengetuai kelab itu merangkul treble bersejarah.
Di bawah bimbingan Flick, Bayern meraih 64 daripada 72 mata untuk menamatkan musim Bundesliga yang tergendala ekoran COVID-19, sebelum merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara keenam mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Paris Saint-Germain di Lisbon.
Dia memenangi gelaran Bundesliga sekali lagi pada musim depan, tetapi meninggalkan kelab itu apabila jawatan Jerman tersedia, mengatakan dia tidak menerima sokongan yang diperlukan daripada hierarki Bayern.
"Saya sangat gembira kami dapat membersihkan beberapa perkara," tambah Flick.
Flick juga berkata dia percaya bekas kelabnya akan mengatasi pergelutan yang dihadapi ketika ini -- Bayern menduduki tempat kelima dalam liga, setelah gagal merekodkan kemenangan dalam empat perlawanan Bundesliga.
“Bayern bermain dengan baik pada awal musim. Selepas pusingan ketiga perlawanan, semua orang menyangka pasukan lain tidak mempunyai peluang,” kata Flick.
"Kini mereka berada dalam fasa yang agak lemah -- tetapi mereka sentiasa mencipta peluang, dan itu menjadikan saya sangat positif."
Flick juga menyokong penggantinya, Julian Nagelsmann, dengan mengatakan dia adalah 'jurulatih yang cemerlang'.
"Saya meminati cara dia membenarkan pasukan bermain bola sepak, tanpa mengira keputusan terkini."
Jerman akan menentang Hungary Jumaat ini di Leipzig, sebelum ke London untuk menentang England di Wembley pada hari Isnin.