Skip to main content

Bola Sepak

Menang 30 minit, musnah lapan minit -- Pengiran Bala

sarawak-290717.jpg
"Kami menang 30 minit. Ia permainan yang mempesonakan sebelum pemain hilang fokus dan tumpuan," kata jurulatih Sarawak, Pengiran Bala, pagi tadi.

Beliau mengulas kekalahan 4-2 kepada Melaka United pada Rabu lalu di mana anak buahnya seharusnya membawa pulang tiga mata.

"Dalam 30 minit itu, pemain-pemain beraksi seperti dirancang.

"Tetapi segala-galanya musnah dalam tempoh lapan minit apabila kami ditembusi tiga gol.

"Dan ia mengubah segala-galanya," katanya lagi.

Pengiran Bala menjelaskan berdasarkan perancangan permainan, selepas menjaringkan gol, pasukannya akan bermain secara rapat dan bertahan untuk mengekang asakan lawan.

"Akan tetapi kerana hilang fokus dan Melaka United pula mula menghantar terus bola ke depan berikutan fizikal pemainnya, pemain saya menjadi kucar-kacir.

"Ketika inilah, kami begitu terasa ketiadaan Demerson Bruno Costa dan Ronny Harun yang mampu mengekang pemain sebegini."

Katanya, Hairol Mokhtar dan Mazewandi Zekeria telah berbuat sebaik mungkin tetapi oleh kerana asakan berterusan, mereka gagal bertahan.

"Lawan tahu kelemahan kami," tambahnya.

Sarawak mendahului dua gol menerusi Mateo Roskam pada minit ke-23 dan Tommy Mawat Bada pada minit ke-29 sebelum Melaka United menyumbat empat gol menerusi Marko Simic (m-31), Mohd Fauzi Roslan (m-35),  S. Surendran (m-39) dan Felipe De Souza (m-90).

Ditanya punca anak-anak buahnya lunyai, Pengiran Bala mengakui pemainnya berdepan masalah kerana mentaliti tidak kuat dan hilang ketahanan.

"Yang penting, kami perlu yakin akan diri sendiri. Yakin akan kemampuan pasukan dan yakin untuk membuat perubahan.

"Hanya itu dapat mengubat 'sakit' pasukan Sarawak sekarang," katanya. 

Jika pasukannya mampu menguasai permainan selama 30 minit pertama dan bermain seperti yang dirancang, mereka perlu mengekalkan gaya permainan itu sekurang-kurangnya dalam tempoh sejam.

Advertisement

Must Watch Video