LIGA SUPER MSIA

Melaka United tamatkan kontrak Vidakovic, Saric

Muzaffar Musa 22/04/2022 | 12:36 MYT
Melaka United FC hari ini mengesahkan bahawa mereka telah menamatkan kontrak ketua jurulatih, Risto Vidakovic, dan jurulatih kecergasan, Dzevad Saric, secara persetujuan bersama.
Dengan penamatan itu, penolong jurulatih, Mohd Asri Ninggal, akan mengambil alih peranan selaku ketua jurulatih interim dan akan dibantu oleh Nazrulerwan Makmor.
Ia merupakan sesuatu perkembangan yang mengejutkan memandangkan saingan Liga Super musim ini baru berjalan lima perlawanan dan Melaka United kini berada di tangga kelapan dengan empat mata hasil satu kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan.
Pasukan Hang Tuah itu, dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka, berkata: "Kami di Melaka United FC dengan ini merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada kedua-dua jurulatih itu kerana telah menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang tiga bulan bersama Skuad Hang Tuah.
"Kami juga mendoakan kejayaan mereka dalam bidang kejurulatihan bolasepak pada masa hadapan."
#liga super #bola sepak #Melaka United #Risto Vidakovic
;