Stadium Astro logo
LIGA SUPER MSIA

Melaka boleh bersaing dalam Liga Super -- Bekas pemain Harimau Malaya

article-author-avatar
Najmi Iman 16/03/2025 | 04:16 MYT
Article ribbon Melaka boleh bersaing dalam Liga Super -- Bekas pemain Harimau Malaya
Nama Nasir Basharudin kembali menghangatkan kancah bola sepak tempatan apabila menjadi watak penting Melaka meraih kejuaraan buat kali pertama Liga A1 Semi-Pro di Stadium Hang Jebat, bulan lalu.
Bekas pemain tengah Harimau Malaya itu pernah menjadi bualan peminat tempatan oleh sebab kelincahan dan kepimpinan yang dimilikinya mengemudi pasukan yang diwakilinya.
Ketika ditemu bual oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dalam segmen Pemain Eksklusif, pemain berusia 35 tahun itu menegaskan Melaka mempunyai keserasian yang baik selain semua pemain memberi kerjasama demi mencapai objektif yang ditetapkan.
"Alhamdulillah, kami berjaya mengharungi liga dengan satu saja kekalahan.
"Itulah kunci kejayaan pasukan Melaka, konsistensi," katanya.
Kejayaan bersama Melaka dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan susulan sudah lama tidak merasa suasana pemenang.
Sebelum ini, Nasir antara individu yang memacu zaman kegemilangan Perak sehingga berjaya menjulang Piala Malaysia 2018 menewaskan Terengganu di Stadium Shah Alam.
"Jika tanya kepada saya, saya fikir sudah tiada piala selepas Piala Malaysia 2018 bersama Perak.
"Usia semakin meningkat.
"Tapi Alhamdulillah ada rezeki untuk sekali lagi menambah koleksi peribadi," tambahnya.
Desas-desus mengenai Melaka akan mewarnai saingan Liga Super mendapat pelbagai reaksi penyokong bola sepak tanah air termasuk Nasir yang teruja untuk memimpin rakan sepasukannya bersaing bersama kelab handalan tempatan.
"Terpulang kepada pihak pengurusan sekiranya masih mahukan khidmat saya.
"Saya terbuka untuk bermain bersama Melaka.
"Sebenarnya, Melaka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
"Ada jurang tetapi tidak terlalu jauh," katanya.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Melaka #Liga A1 Semi-Pro #Nasir Basharudin