Skip to main content

Bola Sepak

Mbappe rasa bebas selepas jaring 100 gol dengan PSG

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mbappe.jpg
Kylian Mbappe berasa bebas selepas menamatkan penantiannya untuk menjaringkan 100 gol buat Paris Saint-Germain (PSG).

Bintang muda Perancis itu menjaringkan golnya yang ke-99 dalam kesemua kejohanan bersama PSG dengan menghasilkan gol berganda ketika tewas kepada Monaco 2-3 pada 20 November lalu.

Dia kemudian gagal menjaringkan gol dalam tiga penampilan -- ketika menentang RB Leipzig, Bordeaux dan Manchester United -- sebelum menjaringkan gol terakhir ketika menewaskan Montpellier 3-1 dalam saingan Ligue 1 awal pagi tadi.

Dengan Moise Kean kembali meletakkan PSG di depan pada minit ke-77, Mbappe menjaringkan gol menerusi satu-satunya percubaan tepat yang dihasilkannya pada lewat permain untuk memastikan kemenangan skuad kendalian Thomas Tuchel itu.
 
Pemain berusia 21 tahun itu telah menjaringkan 74 daripada 100 gol itu dalam saingan Ligue 1 manakala 13 lagi dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Baki 13 gol lagi terhasil dalam saingan piala domestik dan Trophee des Champions.

"Ya, saya sedar statistik saya. Sudah beberapa perlawanan saya mahu menjaringkan gol saya yang ke-100," katanya kepada Canal+.

"Ia bukanlah sesuatu yang paling sukar. Ia satu kebebasan, terutama di kelab bersar seperti ini dan kesemua pemain hebat yang pernah bermain di sini.

"Ketika saya menyertai pasukan ini, saya tidak terfikir akan menjaringkan 100 gol secepat ini. Ia salah satu objektif jangka panjang.

"Terima kasih kepada semua rakan sepasukan dan kelab ini kerana yakin tidak kira pada waktu baik mahupun waktu buruk. Terima kasih buat semua yang bekerja di sana.

"Saya fikir saya boleh menjaringkan  lebih banyak gol atau menghasilkan lebih banyak bantuan. Saya rasa semakin baik dalam setiap perlawanan dan ia juga membantu fizikal saya untuk menjadi lebih baik," katanya.

Mbappe kini menyamai rekod  Dominique Rocheteau di tangga keempat senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman PSG di belakang Pauleta (109), Zlatan Ibrahimovic (156) and Edinson Cavani (200).
 

Advertisement

Must Watch Video