PIALA DUNIA

Mbappe bagaikan tunggang skuter -- Thauvin

Penulis Jemputan 02/07/2018 | 00:08 MYT
Kylian Mbappe kelihatan seperti dia sedang menunggang skuter dalam aksi memukaunya ketika memusnahkan Argentina kelmarin, seloroh rakan sepasukannya, Florian Thauvin.
Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu mencetak dua gol dalam pertembungan pusingan 16 itu bagi menghantar Les Bleus ke suku akhir Piala Dunia 2018 melalui kemenangan 4-3 untuk muncul sebagai pemain remaja pertama yang merakamkan gol lebih dari sekali dalam Piala Dunia sejak Pele melakukannya pada edisi 1958.
Kelincahannya sering membayangi skuad kendalian Jorge Sampaoli itu dan pecutannya dari jarak 70 ela dalam separuh masa pertama mengundang kepada insiden penalti yang disempurnakan Antoine Griezmann.
Thauvin -- yang masuk menggantikan Mbappe pada minit ke-89 untuk penampilan sulungnya dalam temasya Russia 2018 -- berkata kecemerlangan pemain berusia 19 tahun itu sukar dipercayai bagi mereka yang melihatnya dari tepi padang.
"Secara jujur, duduk di bangku simpanan, kami agak terkejut kerana sukar mempercayainya," katanya.
"Dia berada di kawasan sendiri sebelum meluru sejauh 50 meter untuk mendapatkan penalti. Ia luar biasa, ia luar biasa.
"Pada beberapa ketika, saya tertanya-tanya: 'Adakah dia menunggang skuter di atas padang?'
"Jadi, ia luar biasa, dia mempunyai kualiti hebat dan dia menggunakannya untuk kepentingan pasukan dan kami meraikannya."
Mbappe akan kembali beraksi pada Jumaat ini apabila Perancis menentang Uruguay di peringkat suku akhir.
;