Pasukan pilihan Menteri Besar Kedah menewaskan pilihan Menteri Besar Selangor 8-5 dalam satu aksi persahabatan di Shah Alam petang semalam.
Kedua-dua pasukan menampilkan aksi agresif untuk mencari gol dan dalam separuh masa pertama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menjaringkan gol buat pasukannya.
Sanusi, yang ditemui selepas sesi penyampaian hadiah, berkata perlawanan itu merupakan langkah politik matang walaupun masing-masing berlainan parti.
Katanya, aktiviti sukan sememangnya menyatukan semua pihak tanpa mengira latar belakang.
“Alhamdulillah terima kasih kepada kedua-dua kumpulan, terutama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang telah menyediakan tempat perlawanan.
“Untuk hubungan negeri-negeri, ini langkah yang baik saya harap di negeri lain pun boleh lawan bola.
“Ini cara santai kerana selama 67 tahun kita merdeka, sepatutnya lebih matang untuk saling bertukar-tukar pandangan. Saya jemput pasukan Selangor untuk datang ke Kedah,” katanya.
Turut hadir ke perlawanan itu, Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim.
Sementara itu, menurut Amirudin, perbezaan parti politik tidak menghalang mereka untuk bersama-sama beramah mesra selain menyantuni kerajaan negeri Kedah dalam lawatan rasmi ke Selangor.
Tambahnya, selepas pilihan raya negeri (PRN), masing-masing perlukan masa untuk ‘bertenang’ bagi membuat dasar dan polisi.
“Kebetulan ada lawatan rasmi daripada kerajaan negeri Kedah, kita adakan acara santai ini. Kalau semua formal tak menjadi. Lebih santai dan mesra. Kita anjurkan untuk penonton dan tetamu yang datang dari utara.
“Dari segi pentadbiran, kami tidak ada masalah. Cuma selepas keadaan pilihan raya, jadi ketenangan itu perlu diredakan supaya masing-masing ada ruang untuk melaksanakan dasar atau polisi.
“Perbezaan boleh tetapi kita masih lagi rakyat Malaysia, kita ada tanggungjawab bersama,” katanya.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Wed Sep 04 2024