Mauricio Pochettino kecewa Chelsea terlalu 'jinak'
Muzaffar Musa
Disember 25, 2023 12:55 MYT
Disember 25, 2023 12:55 MYT
WOLVERHAMPTON WANDERERS 2 CHELSEA 1
Mauricio Pochetino kecewa apabila Chelsea seolah-olah terlalu 'jinak' dan melepaskan peluang di depan gawang ketika tewas 1-2 kepada Wolves dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Molineux malam tadi.
Mario Lemina menanduk masuk gol pembukaan tuan rumah pada awal babak kedua selepas gerakan awal sepakan penjuru Pablo Sarabia.
Ia satu penantian yang berbaloi buat pasukan bimbingan Gary O'Neil itu, di mana mereka menerima manfaat daripada ketumpulan serangan Chelsea sepanjang babak pertama, terutama ketika Raheem Sterling mensia-siakan peluang keemasan dengan percubaan tepat ke arah Jose Sa walaupun Cole Palmer berada di kedudukan lebih baik untuk menolak masuk ke jaring lawan.
Chelsea secara keseluruhan melakukan 16 percubaan tetapi amat jarang dapat mengancam gawang Sa biarpun banyak menguasai bola di dalam kawasan penalti lawan.
Matt Doherty kemudian menambah gol kedua Wolves pada minit ketiga waktu kecederaan sebelum Cristhopher Nkunku menjaringkan gol sagu hati buat pelawat.
"Kami melakukan kesilapan dan kami perlu menyalahkan diri sendiri," kata Pochettino.
"Sebab itulah kami tidak menang hari ini, kerana dalam babak pertama, kami memiliki peluang untuk menjaringkan gol.
"Dalam EPL, jika anda tidak cukup tajam ketika anda ada peluang, anda akan dibolosi.
"Kami tidak dapat bersaing dalam lima minit pertama babak kedua, kami memberikan lawan terlalu banyak sepakan penjuru. Pada ketika ini, ia tentang memberikan saingan dan menjadi lebih kuat.
"Saya setuju bahawa musuh kami adalah diri kami sendiri. Saya tidak menafikan pujian buat Wolves. Mereka menjaringkan gol dan melakukan tugas dengan baik.
"Tetapi dalam babak pertama, kami pasukan yang lebih baik dan disebabkan kekurangan kapasiti untuk menjaringkan gol, kami tewas perlawanan ini," katanya.
Nkunku gets his first Premier League goal. ? 2-1 ? [90] #CFC | #WolChe pic.twitter.com/CdX28YEjFu
— Chelsea FC (@ChelseaFC) December 24, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.