Matko Zirdum tekad penuhi percaturan Kuala Lumpur City

Shaiful Shamsudin
Januari 23, 2023 21:31 MYT
Matko Zirdum mahu menggunakan keupayaan serba bolehnya di atas padang bagi memacu Kuala Lumpur City dalam kempen Liga Super 2023.
Pemain dari Croatia berusia 25 tahun itu mahu memberi impak segera dalam skuad kendalian Bojan Hodak tersebut yang berdepan kepincangan ketara ketika mematahkan situasi bola mati musim lalu.
"Saya mungkin pemain paling tinggi dalam liga ini.
"Saya boleh memainkan peranan ketika bola pegun jadi dan itulah antara sebab saya di sini.
"Saya juga berharap dapat mencetak beberapa gol.
"Saya gembira dengan posisi di sini, saya serasi dengan Giancarlo Gallifuoco, dia seorang pemimpin sejati," katanya ketika ditemui di Stadium KLFA, Cheras.
Zirdum yang beketinggian 195cm hadir dengan pakej mampu mengisi bahagian tengah mahupun pertahanan tengah, lantas dia menyerahkan percaturan terbaik di tangan Hodak.
"Saya juga tiada masalah untuk mengisi posisi tengah bertahan berdasarkan kemahiran yang diasah ketika di peringkat akademi .
"Jadi saya harap dapat membantu percaturan taktikal," katanya.
#liga super #KL City
;