Masalah kecederaan Selangor kian parah menjelang lawan JDT
Muzaffar Musa
Oktober 24, 2024 10:43 MYT
Oktober 24, 2024 10:43 MYT
Masalah kecederaan pemain yang sedang membadai Selangor kian parah menjelang pertemuan Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Petaling Jaya hujung minggu ini.
Selangor menewaskan kelab Korea Selatan, Jeonbuk, 2-1 di laman sendiri malam tadi untuk kini mendahului Kumpulan H, saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Bagaimanapun, kemenangan itu memerlukan harga yang tinggi apabila dua pertahanan mereka, Quentin Cheng dan Ahmad Zikri Khalili, terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan.
Ia pasti menambahkan kegusaran pengendali pasukan itu, Nidzam Jamil, memandangkan senarai kecederaan pemainnya kini semakin panjang.
Tonggak tengah dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh, terpaksa direhatkan sembilan bulan gara-gara mengalami kecederaan lutut anterior cruciate ligament (ACL) dan ketua pasukan, Safuwan Baharudin, turut tidak dapat disenaraikan bersama seorang lagi tonggak tengah, Mukhairi Ajmal Mahadi, yang difahamkan gara-gara kecederaan paha.
Terdahulu, pemain sayap, Alvin Fortes, dan perancang tengah, Alex Agyarkwa, turut dilaporkan belum cukup cergas gara-gara kecederaan lutut.
Keadaan itu pastinya menambah kesukaran Selangor berdepan JDT memandangkan tujuh pemain berkenaan merupakan tonggak utama dan berdasarkan pertemuan terakhir, mereka dibelasah 1-6 oleh lawan itu dalam final Piala FA pada Ogos lalu.