LIGA SUPER MSIA
Masa begitu perlahan tunggu wisel penamat -- Rahmad
"Masa begitu perlahan. Satu minit bagaikan sebulan, terutama pada minit-minit akhir perlawanan," kata jurulatih T-Team, Rahmad Darmawan.
Jeritan pemainnya sebaik wisel penamat membayangkan betapa gembira mereka berjaya mengikat tuan rumah, Sarawak, 0-0 dalam Liga Super di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi.
Keputusan itu bermakna T-Team kekal dalam Liga Super musim depan sedangkan lawan mengalami penyingkiran ke Liga Perdana.
Katanya, pihaknya memang menyangka Sarawak akan mengaum bak harimau ganas dalam perlawanan itu.
"Kami tahu dan mereka (Sarawak) perlu menang, justeru mereka akan menyerang habis-habisan. Kami bersiap untuk situasi ini dan meletakkan dua pemain tengah defensif untuk memperkukuh jentera belakang," katanya.
Jangkaannya tepat kerana Sarawak mengasak sejak minit pertama.
"Justeru, kami berusaha memperlahankan rentak permainan, kawal bola dan hanya hantar ke hadapan apabila perlu. Itu satu-satunya jalan keluar daripada tekanan," tambahnya.
Jelas Rahmad, dia juga menasihati pemainnya agar tidak mempedulikan keputusan perlawanan lain, terutama membabitkan Kelantan dan Melaka United.
"Strategi kami, saya mahu pemain fokus hanya kepada aksi 90 minit ini kerana sedikit kesilapan boleh mengundang bahaya.
"Mereka mengikut strategi itu dan saya puas hati dengan prestasi keseluruhan perlawanan biarpun hakikatnya pasukan sedikit tertekan yang sebelum ini telah dipotong tiga mata, ditambah lagi kehilangan beberapa pemain kerana cedera.
"Bagaimanapun, ia satu keputusan yang baik," kata Rahmad lagi.