LALIGA
Martins: Simeone yakin saya pemain istimewa
Pemain sayap, Gelson Martins, membuat keputusan untuk menyertai Atletico Madrid selepas pengendalinya, Diego Simeone, mengenal pasti perwatakan istimewa dalam dirinya yang mampu diberikan buat pasukan.
Pemain antarabangsa Portugal itu menandatangani kontrak selama lima tahun, minggu lalu, selepas membatalkan perjanjian dengan Sporting Lisbon.
Pemain berusia 23 tahun itu diperkenalkan secara rasmi di Wanda Metropolitano semalam dan dia gembira untuk memulakan kerjasama di bawah bimbingan pengurus baru itu.
Iklan
"Mesej daripada ketua jurulatih sangat penting buat kami dan dia mengatakan bahawa saya mampu menambah nilai dalam pasukan," katanya.
"Semua pemain sangat bagus tetapi dia berfikir saya mempunyai perwatakan istimewa dan sebab itu saya hadir ke sini.
"Sejak tiba, saya bekerja keras berbekalkan kualiti dan ia membantu saya dalam corak permainan yang ditampilkan, membuatkan saya sangat gembira untuk beraksi di bawah kendalian Simeone," katanya.
Presiden kelab, Enrique Cerezo, berharap Martins dapat menjadi legenda di kelab tersebut, sama seperti apa yang dilakukan pemain senegaranya, Tiago Mendes dan Simao, yang menikmati kejayaan hebat bersama Atletico dalam dekad terakhir.
"Kami mendapatkan seorang pemain, yang walaupun masih muda, tetapi sudah memiliki pengalaman yang bagus.
"Di sini, beberapa pemain Portugal muncul sebagai legenda dan kami yakin anda akan memberikan segalanya demi pasukan," ujarnya.
Must-Watch Video